13 Fakta Tomato Yang Menarik Untuk Anda Ketahui
Kalau tomato saiz besar pula, sedap juga dimakan ala-ala buah epal. Lebih-lebih lagi sebahagian besar berat tomato mengandungi air, iaitu lebih kurang 94.5%. Dah macam jus jadinya. Selain itu, hanya potong atau hiris tomato semasa mahu makan sahaja untuk rasa yang lebih segar. Tapi tomato yang dipotong lebih awal boleh mengurangkan rasanya. Jika digunakan dalam masakan, cara mudah menikmati tomato melalui sos piza, salsa atau jus tomato ke dalam diet. Juga boleh masukkan hirisan tomato ke dalam sandwic atau salad, atau tomato yang didadu ke dalam hidangan pasta. Baiklah, kali ini kami nak kongsi 13 fakta menarik berkaitan tomato yang mungkin anda tidak tahu sebelum ini. 1. Tomato tidak perlu disimpan dalam peti sejuk kerana boleh merosakkan rasa dan teksturnya. Melainkan tomato yang hampir atau sudah masak ranum sahaja, itu pun untuk beberapa hari sahaja. Simpan tomato pada suhu bilik sahaja. 2. Tomato adalah sumber terbaik potasium, vitamin A dan C. Juga kaya dengan likopena, yang memberi warna merah pada tomato. Sedikit tentang likopena, ia merupakan antioksidan yang membantu menghalang kerosakan sel dalam tubuh. 3. Tomato yang melalui proses pemanasan seperti memasak dan proses tertentu yang melibatkan haba memudahkan likopena diserap ke dalam tubuh. Jadi tambahkan tomato ke dalam hidangan kari, kurma, asam pedas atau pindang untuk menikmati khasiat tomato ini. 4. Bagi sebiji tomato bersaiz sederhana, jumlah kalorinya sebanyak 24. Tiada kandungan lemak dan bebas kolesterol. Ia juga membekalkan sebanyak 1 g protein dan fiber masing-masing. Kandungan vitamin A pula sebanyak 1025 iu, vitamin C sebanyak 15 mg, potasium sebanyak 292 mg dan karotenoid sebanyak 3992 mg. 5. Sos tomato sering dijadikan asas kepada pelbagai jenis hidangan. Contohnya piza, pasta, ayam dan ikan. Sos tomato paling asas dihasilkan daripada bawang besar, lobak merah dan batang saderi yang dimasak bersama sedikit minyak zaitun. Kemudian ditambah dengan bawang putih, tomato dan sedikit garam. Bahan lain yang boleh dimasukkan mengikut menu yang mahu disediakan, adalah seperti cendawan, sosej, buah zaitun atau apa saja jenis sayuran terutamanya yang sedikit keras seperti kobis bunga. 6. Dikatakan terdapat 25, 000 jenis tomato di dunia. Namun, antara lima jenis tomato yang utama ialah jenis glob, ceri, heirloom, roma dan pear.
7. Tomato boleh disimpan lebih lama jika disimpan dengan batangnya menghala ke bawah. 8. Kandungan vitamin C dalam tomato mudah hilang jika cahaya matahari mengenainya semasa dalam penyimpanan. 9. Adakalanya tomato dipetik semasa masih lagi hijau, lalu di’gas’ dengan etilena dalam perjalanan ke pasar raya. Sewaktu tiba di pasar raya, tomato sudah pun masak. 10. Tomato dipanggil “tomate” dalam bahasa Perancis dan Sepanyol, “tomaat” dalam bahasa Dutch and “pomodoro” dalam bahasa Itali. 11. Tomato hijau akan masak jika disimpan bersama buah epal. Gas etilena yang dibebaskan akan memberi persekitaran yang sesuai untuk tomato masak lebih cepat. Tiada epal? Balut tomato dengan surat khabar secara longgar dan biarkan selama satu hingga dua minggu. 12. Tomato mempunyai ciri perubatan yang bagus. Ia mampu bantu menurunkan risiko kanser, elak penyakit kardiovaskular, menulenkan karsinogen dalam asap rokok, mengandungi banyak mineral dan vitamin, mengurangkan hipertensi, mengurangkan keradangan dan pelbagai kebaikan lain. 13. Walaupun tomato baik untuk kesihatan, anda tidak digalakkan makan dengan berlebihan kerana ia mengandungi potasium yang boleh mengganggu buah pinggang sekiranya diambil terlalu banyak. |