Ronaldo ledak dua gol benam Dortmund
DORTMUND (Jerman): Cristiano Ronaldo menandakan penampilan ke-150 dalam saingan Eropah dengan meledak dua gol, ketika Real Madrid meraih kemenangan 3-1 di Borussia Dortmund, seterusnya mendahului kumpulan H, Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. Ronaldo meledak dua jaringan pada babak kedua selepas voli awal menarik yang dilakukan Gareth Bale memberikan kelebihan kepada Real dalam aksi di stadium milik Dortmund, Signal Iduna Park. Pasukan Jerman itu bangkit apabila Pierre-Emerick Aubameyang akhirnya berjaya menemui gawang setengah jam sebelum tamat perlawanan, tetapi tiada lagi aksi ulangan keputusan seri 2-2 di Dortmund seperti musim lalu. |
"Real memang sukar disekat dan menggunakan segala peluang yang ada," kata pemain tengah Dortmund, Gonzalo Castro. "Kami ada peluang untuk menjadikan 1-1, tetapi sebaliknya kami ketinggalan 2-0 dan ia sememangnya sukar berdepan Real." Keputusan itu meletakkan Real di tangga teratas Kumpulan H, di depan Tottenham Hotspur yang menewaskan APOEL 3-0 di tempat lawan. Dortmund berada di tangga ketiga dan enam mata di belakang Spurs, yang menewaskan mereka 3-1, di London dalam perlawanan pertama. |
Selepas turut meledak dua kali berdepan APOEL, Ronaldo kini menjaringkan empat gol dalam hanya dua saingan Liga Juara-Juara musim ini. Dia menandakan penampilan ke-400 buat Madrid secara keseluruhan dengan dua lagi gol seterusnya memberikan 411 gol bersama pasukan memakai jersi putih itu.